Friday 21 March 2014

CERPEN

InshaAllah, Akan terbit cerpen Pertama Armiza Nila 2014.

Judulnya : Cinta Lauh Mahfuz.

Masih menunggu ciptaan baru menyusul :

1. Menyisih Takdir
2. Muhibbah, Seberang Pending
3. Semariang Batu - Sungei Manok
4. Kelupis, Ikan Tahai

Sekian, doakan kelangsungannya.

21 Mac 2014
Petra Jaya

Iman setipis kulit bawang

Ding dong ding dong ding dong.

Begitulah gerak iman setipis bawang.

Turun naiknya macam pasang surut air asin di lautan. Mengalir seperti air terjun Gunung Serapi.
Kekadang nurani sedingin air murni yang turun dari langit awan yang pilu tanpa pernah dicemari unsur-unsur syirik tahyul khurafat dans egala perbuatan mazmumah makhluk.

Ketika iman semakin mengendur, tetiba dating secarik cahaya menerobos di kegelapan hati yang temaram oleh dendam, oleh benci, oleh api marah yang marak.

Aku tidak mahu memadamkan lahar yang mengalir dari Gunung Berapi itu. Larvanya bisa mendingin sekadar cukup suhunya. Ia boleh jadi nikmat. Sulfurnya berwarna kuning jadi ubat. Larva timahnya jadi pembaa rezeki pada si miskin. Sungguh kejadiannya tidak pernah sia-sia.

Cukup di sini. Di manakah nilainya iman setipis kulit bawang?

Petra Jaya, 21 Mac 2014.

Monday 30 November 2009

Disember 2009

Acara Perkampungan Pengarang Sarawak akan berlangsung di Hotel Telang Usan, Miri pada 5 hingga 6 Dis 2009. Peserta dari Kuching akan berangkat ke Miri dari DBPCS Kuching pada 4 Dis 2009.

InsyaAllah, saya akan turut serta sebagai wakil dari Angkatan Pengkarya Indie [A.P.I.].

Terima kasih atas jemputan.

Disember 2009 pasti meriah. Saya tidak mahu ketinggalan.

Armiza Nila melaporkan.

1 Dis 2009
Jalan Sultan Tengah

Sunday 29 November 2009

Keberangkatan November 2009

November musim dingin meninggalkan kenangan yang manis meskipun musimnya dingin sedingin sesejuk salju yang turun dari lelangit nurani seorang ibu.

Aku tidak bisa lagi mencoret peristiwa ke kertas untuk tontonan umum.

Banyak kekangan dan prioriti yang harus dilaksanakan serta merta.

Apa pun aku amat menyukai suasana dan mood di bulan November 2009 kerana banyak aktiviti sosial, keluarga dan masyarakat yang telah aku hadiri.

Moga Disember yang bakal menghujani acara seterusnya bakal memperkembangkan lagi pengkaryaan daripada berpeluk tubuh enak melayan tubuh di musim dingin seterusnya.


Armiza Nila
30 November 2009

Wednesday 11 November 2009

Buangkan segala kesedihan...

.... bangkitkan keceriaan dalam hidup anda...

kita tidak pernah bisa mengubah hati manusia

kita tidak pernah bisa meminta orang lain berpuas hati dengan siapa diri kita

..terimalah seadanya....

cerpen..jangan bersedih....nanti...

Monday 9 November 2009

Cerpen Duhai Anak

Sudah ada di dalam kepala saya mesej yang ingin disampaikan di sebalik cerpen duhai anak ini.

Ironinya anak ada pelbagai anak - anak kandung, anak angkat, anak tiri - semuanya bergelar anak...namun pembahagian kasih sayang secara total atau adil sering saja dipersoalkan oleh sang ibu kandung, ibu angkat mahu pun ibu tiri mahupun anak-anak yang saya sebut tadi.

akan datang...insyaAllah saya akan cuba mengupas kemelut ini - yang melingkari kehidupan kita sehari-hari....

......

Armiza Nila
10 Okt 2009
p/s....teringat Novel Tunggu Teduh Dulu oleh Faisal Tehrani

Wednesday 28 October 2009

Perempuan - Muda Mulia Terhina Tua - Utusan Sarawak 2008

Cerpen : Perempuan – Muda Mulia Terhina Tua
Oleh : Armiza Nila

Ketika muda, hidupnya begitu mewah. Dengan badan langsing bak kerengga, kulit putih melepah bak sutera, rambut hitam ikal mayang, dan bibir tebal seulas limau, dia mendapat seorang suami yang muda kacak dan bergaya sementelahan bekerja dengan kerajaan yang mendapat gaji bulan yang cukup mewah. Lauk yang sedap-sedap menjadi hidangan menunya setiap hari. Punyai rumah yang lengkap dengan perabot dan kemudahan asas seperti air paip, bekalan elektrik dan kelengkapan rumah seperti televisyen, peti sejuk dan dapur gas. Suaminya juga mempunyai sebuah kereta jenis Volksyagen warna Merah Tua. Rumahnya terletak berhampiran jalan besar kampung yang ketika itu masih berbatu-batu kecil kerana belum bertar.

Kerana hidup mewah, pernah ia berkata ketika lauk yang dimakannya berlebihan, “Lebih baik aku buang ke tanah saja lauk ini biar dimakan semut daripada kuberikan kepada anak-anak abang yang ramai lagi miskin itu. Buat mengotorkan pinggan mangkukku saja,” begitu kesombongan bersarang dalam hatinya.

Beberapa tahun berumahtangga, dia tidak dikurniakan cahayamata. Hidupnya hanya berdua dengan suaminya yang sering bertugas di luar kawasan di samping beberapa ekor kucingnya. Dia punya saudara iaitu abang kandungnya yang mempunyai sebelas orang anak yang masih kecil dan miskin itu tetapi kewujudan mereka seolah-olah tidak nampak di matanya.

Begini ceritanya. Abang kandungnya yang mempunyai ramai anak itu asalnya tinggal di kampung seberang pelabuhan. Kampung yang agak terpinggir dari kemudahan asas seperti air paip mahupun bekalan elektrik. Untuk ke kampung itu perlu menyeberangi sungai dengan menaiki sampan kecil yang dibawa penambang yang terdiri daripada anak-anak dan warga kampung itu sendiri. Oleh kerana kesempitan hidup yang dirasakan oleh abang kandungnya itu kerana terpaksa berulang-alik dari kampung terpinggir itu ke kampung adiknya kerana melakukan pekerjaan di situ, akhirnya abang kandungnya mengalah dengan pujukan adiknya supaya menetap saja di sana. Abang kandungnya pun membawa isteri dan anak-anaknya berpindah ke kampung adiknya biarpun dibantah keras oleh isterinya.

Apabila rumahnya siap seadanya tanpa bekalan air paip dan elektrik, abang kandungnya pun membawa keluarganya berpindah ke kampung adiknya itu. Ketika itu, isterinya mengandungkan anaknya yang ke duabelas. Bila lahir saja anak yang ke duabelas berjantina lelaki, perempuan muda mulia itu pun memainkan peranannya. Kerana mahukan cagaran lantaran ketamakannya, maka perempuan muda mulia tadi pun berjumpa dan merayu-rayu abang kandungnya.
“Abang tinggallah sahaja di tanah adik ini sampai bila-bila. Tapi, tolonglah abang berikan anak abang yang bongsu ini untuk dipelihara adik dan suami,” rayu perempuan muda mulia itu dengan lakonannya paling popular.

Pada mulanya, isteri abang kandungnya keberatan untuk menyerahkan anak kandungnya biarpun kepada adik iparnya sendiri. Biarlah hidupnya susah laksana kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, hatinya tetap gembira melihat anak-anaknya membesar dengan senyuman dan gelak tawa. Tetapi mengenangkan adik iparnya ini tidak punya walau seorang pun cahayamata penghibur lara dan kerana sejak dari anaknya yang ke sembilan lagi sudah dimohonnya untuk dipelihara, akhirnya dengan berat hati isterinya pun menyerahkan anaknya setelah diberi susu ibu kali pertama. Namun, isterinya tidak pun terlintas mahu menukarkan anaknya itu kepada tanah tempat berdirinya rumah kediaman mereka.

Hiduplah perempuan muda mulia itu dengan gembira dan bertambah-tambahlah kesombongannya. Sanggup dia berpura-pura di depan kawan-kawan suaminya bahawa dialah yang telah melahirkan anak saudaranya yang dijadikannya anak angkat itu. Dahinya dipipis dengan bedak sejuk. Rambut dan kepalanya dibungkus dengan skaf hitam, kakinya dibaluti stoking dan berkain batiklah dia dalam tempoh ‘berpantang’ itu. Melihat keadaannya serasa meluat sekali biarpun bagi kanak-kanak perempuan berusia delapan tahun.
Anak angkatnya itu pun hidup mewah dengan alat-alat permainan mahal-mahal dan makanan yang sedap-sedap seperti dari dapur Sugar Bun, Kentucky Fried Chicken mahupun Mac Donald yang amat popular ketika itu. Manakala anak-anak abang kandungnya yang ramai dan miskin itu hanya melihat dengan ekor mata kemewahan yang dinikmati oleh darah daging mereka. Tidak sedikit pun perempuan muda mulia itu berasa simpati dan memberi barang sedikit makanan mahupun lebihan kepada anak-anak saudaranya yang ramai dan miskin itu. Malah anak angkatnya itu tidak dibenarkan bermain bersama-sama kakak dan abang kandungnya sendiri sehingga dewasa malah tidak dimaklumkan bahawa dirinya adalah anak angkat kepada perempuan muda mulia itu.

“Anak orang miskin. Apa gunanya. Menyusahkan orang saja,”entah berapa kali kata-kata itu dilemparkan dari mulutnya yang berbau busuk itu.

***
20 tahun kemudian

Allah Maha Adil. Allah Maha Kaya. Hidup manusia umpama roda. Siapakah yang bisa menongkat bumi. Kalau dulu sentiasa di atas, akhirnya kini turun ke bawah juga.

Anak-anak abang kandungnya yang miskin itu pun membesar, bersekolah dan akhirnya merasa juga enam dari sebelas anak-anaknya bekerja dengan kerajaan dan selebihnya bekerja sendiri dan berkhidmat di sector swasta. Maka berubahlah suasana kehidupan di rumah abang kandungnya. Bulan yang pertama, anak lelakinya yang berjawatan Konstabel polis membawa balik sebiji dapur gas kerana tidak mahu lagi melihat ibunya menyapu peluh di dahi kerana meniup api dari dapur kayu. Bulan kedua, dibawanya pulang peti sejuk untuk menyimpan ikan, sayur dan daging supaya tahan lama dan dapatlah merasa minum air sejuk dari peti ais. Dan bulan-bulan yang seterusnya anak-anaknya yang lain membawa televisyen, radio, sofa dan lain-lain perabot rumah. Oleh kejadian itu, maka tersiraplah darah perempuan muda yang tadinya mulia bertukar sebagai perempuan tua yang terhina. Hatinya sudah terlalu sakit dan bernanah kerana melihat anak-anak saudaranya yang ramai dan miskin itu akhirnya beroleh kesenangan hidup dari sehari ke sehari.

Maka timbullah niat buruknya suatu hari. Perempuan tua terhina dan suaminya pun melangkah masuk ke rumah abang kandungnya yang sudah berjaya mendidik anak-anaknya yang ramai dan miskin itu menjadi manusia berguna.

Dengan kedudukan berdiri dan bercekak pinggang dek tidak sudi duduk di rumah buruk abang kandungnya itu dia pun mengherdikkan suara keldainya.
“Abang, mulai esok hari, abang, kakak dan anak-anak keluarlah dari tanah saya ini. Abang robohkan rumah abang ini. Abang tinggallah di tempat lain. Abang patut bersyukur kerana adik tidak pernah meminta satu sen pun sewa tapak rumah ini. Sebelum adik menghalau abang, lebih baik abang berpindah saja,” begitu bunyi api kemarahannya dimuntahkan.
Suaminya yang turut serta hanya diam membabi buta dan menurut apa saja perkataan isterinya.

“Baiklah dik, tapi berilah peluang kepada abang untuk membina rumah baru sebelum kami berpindah. Adik tidak ingatkah janji adik kepada abang supaya tinggal di sini sampai bila-bila ketika adik mengambil anak bongsu abang sebagai anak angkat?” abangnya cuba mengingati peristiwa dua puluh tahun lampau.

“Ah…itu dulu bang. Masa adik tidak terfikir akan nilai tanah ini. Sekarang anak-anak abang dah berjaya. Abang carilah tapak tanah lain untuk rumah abang,”sergah adiknya.

“Baiklah dik. Abang bersetuju. Tapi adik berpeganglah pada janji adik itu sendiri sampai bila-bila,”jawab abangnya penuh kejujuran dan kesedihan.

***

Perempuan tua terhina itu pun termakan oleh janjinya sendiri. Di akhir usianya terjadi keretakan rumahtangganya. Anak angkatnya bermasalah hidupnya seperti layang-layang terputus tali dek diberikan kebebasan dan dilimpahkan segala kemewahan tanpa batasan. Hiduplah dia penuh sosial dengan minuman arak sebagai minuman harian, sabu sebagai makanan sampingan dan permainan video sebagai santapan mindanya. Suaminya tidak lagi tinggal sebumbung. Perempuan tua terhina hidup digantung tak bertali. Suaminya tidak menceraikannya dan tidak juga hidup sebumbung dengannya.

Suaminya pernah berkata, “Aku tidak akan sanggup hidup bersamanya setelah sekian lama aku memendam rasa menurut segala kemahuannya seperti lembu yang dicucuk hidungnya. Aku bukannya bodoh sampai ke tua,” begitu omelannya yang penuh tersurat dan tersurat.

Kini, perempuan tua terhina tinggal seorang diri di rumah konkrit setingkatnya yang dibina suaminya sebelum ‘berpisah’ itu di atas tapak tempat rumah abangnya dulu. Hiduplah dia sebatang kara dengan kucing-kucing peliharaannya sebagai ganti anaknya yang kini sedang menjalani rawatan pemulihan dan bernasib baik mendapat pekerjaan tetapi tidak tinggal bersamanya.

Anak-anak abangnya yang ramai dan miskin dulu kini bertukar hidupnya menjadi senang dan bersederhana kerana masing-masing punya pekerjaan baik berniaga sendiri, bekerja dengan sektor swasta mahupun sektor awam. Mereka masing-masing sudah berkeluarga, mempunyai anak, rumah dan kereta sendiri. Di mata perempuan tua terhina, dunia sudah terbalik!
Entah mengapa, kerana dosa-dosanya barangkali kepada abang kandungnya, kakak iparnya dan anak-anak saudaranya, kelibatnya di rumah konkrit setingkat itu semacam tidak wujud di mata mereka. Anak-anak saudaranya lebih mudah dan senang hati memberikan sedekah berupa wang mahupun makanan kepada jiran-jiran lain yang lebih tua dan susah hidup mereka, yang tiada kaitan langsung darahnya dengan mereka berbanding kaitan darah dengan perempuan tua terhina itu. Barangkali juga itu balasan Tuhan yang sewajarnya kepada kebongkakan hidup perempuan tua terhina semasa muda mulianya.

Kini, perempuan tua terhina yang sering sakit-sakit itu kerap kali meminta bantuan anak-anak saudaranya yang dihinanya semasa kecil dek kemiskinan untuk membawanya menumpang kereta mereka ke hospital ketika dia terlantar sakit. Nah! Orang yang dihina dulu lah yang menolongnya. Apa dia tidak pernah insaf dan lembut serta tunduk hatinya?! Hanya Allah yang berkuasa membalas segala perbuatannya. Sebagai manusia biasa, berbaik-baiklah kita. “Kalau orang menikam batu sembunyi tangan, biarlah kita laksana padi, semakin berisi semakin merunduk”.

Allah Maha Adil. Allah Maha Kuasa. Allah Maha Kaya. Milik Allah segala makhluk dan alam raya. Mudah-mudahan kita terpilih sebagai hambaNya yang bersyukur dengan setiap ketentuanNya.

Maslina Mahbu @ Armiza Nila
Jalan Sultan Tengah, Petra Jaya, Kuching
06 Mei 2008